KEVIN menyatakan
keputusan dibuat MFL mendapat sokongan FAM. -Foto fail
KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam
aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam 15 April lalu, Kuantan FA terpaksa
menerima padah apabila digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2018 berkuat
kuasa serta merta hari ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang
melihat tindakan kelab bermasalah itu tidak hadir pada perlawanan dan tidak
memaklumkan kepada sekretaruat MFL satu kesalahan yang berat dalam peraturan
Liga-M.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan
yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL itu turut mendapat sokongan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM).
"Pihak MFL dan Kuantan FA sentiasa berhubung dari masa ke
semasa. Tidak hadir ke perlawanan dengan tidak memaklumkan kepada sekretariat
adalah satu kesalahan yang besar dilakukan oleh mereka.
"Pelanggaran peraturan ini bukan sahaja melibatkan kos
liga, malah menjejaskan kos operasi pihak lawan dan juga penaja-penaja yang
telah melabur jutaan ringgit kepada mereka. Jadi keputusan untuk menggugurkan
mereka ini dari liga adalah satu keputusan yang tepat." katanya.
Kuantan FA yang memiliki masalah pembayaran gaji pemain musim
ini mencetuskan kontroversi apabila mereka tidak hadir pada perlawanan
menentang PDRM sehingga pasukan tuan rumah diberikan kemenangan percuma 3-0.
Menurut Kevin, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha dalam
membantu Kuantan FA menyelesaikan masalah namun ia tidak berhasil.
"Pihak Kuantan FA sebelum ini telah berhubung dengan pihak
MFL berkenaan beberapa isu yang perlu diselesaikan. Beberapa mesyuarat juga
telah dibuat bagi membantu pasukan Kuantan FA ini.
"Pada tahun 2018, sebanyak empat mesyuarat telah dibuat di
antara Kuantan FA dan juga pihak MFL. Beberapa peluang telah dikemukakan oleh
MFL bagi menyelesaikan masalah yang dibelenggu oleh pasukan tersebut,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan