“JANGAN ingat boleh lepas!,” kata pengendali Kuantan FA, Ismail
Zakaria.
Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu menegaskan pengurusan pasukan
itu tetap ‘berhutang’ dengan pegawai dan pemain dan tuntutan tetap akan
diteruskan meskipun pasukan itu tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Perdana
musim ini.
“Walaupun pasukan sudah disingkirkan namun harus diingat,
tunggakan sehingga tiga bulan ini tetap perlu dilunaskan kerana pemain sudah
bermain bermati-matian sebelum ini meskipun langsung tidak dibayar.
“Kita ada beberapa saluran yang boleh digunakan untuk
menyelesaikan kes ini. Pengurusan seharusnya rasa lebih bertanggungjawab untuk
menyelesaikan gaji yang sudah tertunggak ini. Kami akan terus menuntut hak
kami,” katanya hari ini.
Pada masa sama, biarpun keputusan Liga Bolasepak Malaysia
(MFL) ‘menendang keluar’ pasukan itu dari saingan Liga Perdana dilihat seakan
terkena batang hidung sendiri, Ismail nyata lega dengan pengakhiran
pasukannya itu.
Menurut Ismail, langkah MFL membatalkan penyertaan
pasukan itu selepas berdepan dengan masalah kewangan dilihat sebagai satu
tindakan yang baik dan memberi peluang kepada pemain pasukan itu mencari
pasukan baharu untuk meneruskan karier mereka.
“Walaupun pasukan digugurkan, tidak mengapa kerana setidak
tidaknya ia dapat dijadikan pengajaran kepada mana-mana pengurusan pasukan
dalam Liga Malaysia (Liga M).
“Apapun, keputusan pantas ini sedikit sebanyak membolehkan
pemain mencari hala tuju baharu dan saya bersyukur kebanyakan pemain yang
tinggal sudah mendapat pasukan baharu untuk beraksi sekali gus membolehkan
mereka terus bermain,” katanya.
Terdahulu, gara-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam
aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam 15 April lalu, Kuantan FA terpaksa
menerima padah apabila digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2018 berkuat
kuasa serta merta hari ini.
Keputusan itu diumumkan oleh badan pengendali liga itu yang
melihat tindakan kelab bermasalah itu tidak hadir pada perlawanan dan tidak
memaklumkan kepada sekretariat MFL satu kesalahan yang berat dalam peraturan
Liga-M.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan
yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL itu turut mendapat sokongan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan