SASARAN realistik perlu digariskan selepas mengambil kira
kekuatan skuad dan kualiti pemain yang bakal disenaraikan untuk mengharungi
saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia, pada Ogos ini.
Jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee
berkata mereka perlu mengetahui sama ada pemain bakal dihantar nanti adalah
skuad yang dibarisi pemain terbaik atau lebih muda.
"Kita seharusnya realisitik kerana jika kita menghantar
pasukan terbaik, sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya melepasi peringkat
kumpulan dan mara ke peringkat suku akhir.
"Tetapi jika kita tidak mampu mendapatkan pemain terbaik,
kita perlu mempertimbangkan sasarannya kerana kita akan memberi pendedahan
kepada pemain berusia 21 dan 22 tahun sebagai persediaan untuk mengharungi pusingan
Kelayakan B-23 pada tahun hadapan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pusingan kelayakan B-23 tahun hadapan akan memberi tiket kepada
pasukan untuk beraksi di Kejuaraan B-23 2020 dengan Malaysia dijangka turut
membida hak tuan rumah untuk pusingan akhir yang dijadual berlangsung awal 2020
itu.
Mengulas lanjut mengenai perancangan skuad muda negara itu, Kim
Swee menyatakan mereka akan menyertai Piala Ulang Tahun Persatuan Sepak Bola
Seluruh Indonesia (PSSI) 2018 pada hujung bulan ini.
"Selepas ini, kita akan terbabit dengan kejohanan jemputan
PSSI yang akan bermula pada 28 April ini. Kita akan mula berlatih pada 20 April
dan itu adalah pelan jangka masa pendek kita buat masa ini.
"Kemudiannya, kita akan melakukan persiapan untuk ke Sukan
Asia," katanya.
Piala
Ulang Tahun PSSI 2018 itu adalah kejohanan jemputan empat penjuru yang
menampilkan skuad B-23 Indonesia, Korea Utara, Bahrain dan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan