MENTERI Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin tetap menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menerajui
FAM. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DUNGUN: Peluang Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menerajui
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kukuh apabila pemimpin sukan nombor
satu negara, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menyokong pencalonannya.
Bercakap selepas meletak batu asas Projek Pembinaan Kompleks
Velodrom Berbasikal Azizulhasni Awang di Kampung Balai Besar, hari ini, Khairy
menegaskan sokongannya itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
"Secara peribadi bagi saya yang layak menduduki kerusi itu
adalah Hamidin biarpun Presiden FAM mesti dipilih melalui pemilihan.
"Beliau (Hamidin) lebih layak dan perkara itu terpulang
kepada ahli gabungan FAM dan persatuan bolasepak negeri tapi bagi saya yang
layak menerajui FAM ialah Hamidin," katanya.
Khairy berkata, untuk menjadi Presiden FAM, seseorang itu sudah
tentu mempunyai pengalaman luas di peringkat negeri, kebangsaan dan
antarabangsa.
"Sebelum ini, Hamidin pernah menerajui Persatuan Bola
Selangor ketika saya menjadi Timbalan Presiden FAM dan Hamidin juga banyak
membantu melaksanakan dasar yang dirangka FAM.
"Jadi, saya percaya Hamidin adalah yang terbaik kerana
beliau melalui banyak pengalaman di peringkat negeri dan kebangsaan,"
katanya.
Ketika diaju soalan sama ada beliau perlu duduk di kerusi nombor
satu FAM itu, Khairy hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya.
Terdahulu, selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai
Presiden FAM Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan apabila
mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.
Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku
Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku
presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.
Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail dan Khairy, namun
keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak
tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan sekiranya terdapat
pertandingan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan