KEVIN RAMALINGAM
KUALA LUMPUR 8 Mac -
Hukuman dan denda dikenakan kepada pasukan yang gagal melengkapkan atau
menghantar dokumen pendaftaran pada masa yang ditetapkan untuk bersaing dalam
Liga Malaysia (Liga-M) telah termaktub dalam Peraturan Liga Malaysia (Liga-M)
bukan dibuat sesuka hati, kata Kevin Ramalingam.
Ketua Pegawai Eksekutif
Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) itu berkata, hukuman
dan denda ke atas pasukan terlibat dibuat dengan merujuk kepada klausa 43 iaitu
pematuhan peraturan yang terkandung bahawa apa-apa tindakan yang ditentukan
oleh FMLLP dan dibenarkan oleh kongres atau ahli lembaga pengarah FMLLP.
FMLLP merupakan badan pentadbir Liga-M.
“Semua pasukan mengetahui peraturan tersebut,
sudah ada peraturan yang membolehkan Lembaga Pengarah FMLLP mengambil tindakan
sedemikian dan ini mengikut peraturan, bukan sesuka hati mengenakan denda dan
hukuman.
“Memang benar tidak tertulis jumlah denda
dikenakan sebanyak RM1.5 juta tetapi dalam klausa itu tertulis Lembaga Pengarah
mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.
“Saya juga suka mengingatkan bahawa jumlah
imbuhan yang kita berikan kepada pasukan-pasukan adalah lebih besar daripada
tahun-tahun sebelum ini. Misalnya pasukan Liga Super mendapat insentif sebanyak
RM3 juta, bukan RM1 juta (seperti sebelumnya) dan pasukan Liga Perdana mendapat
RM1 juta berbanding RM500,000 tahun lalu.
“Apa yang Lembaga Pengarah FMLLP putuskan adalah
seiring dengan imbuhan besar diberikan supaya mereka faham dan tidak mengambil
ringan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kevin merujuk kepada rungutan sepuluh pasukan
yang dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM9 juta kerana gagal melengkapkan
atau lewat menghantar dokumen pendaftaran untuk menyertai Liga-M musim ini.
Empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Kuala
Lumpur, Selangor dan PKNS FC masing-masing dikenakan denda RM1.5 juta.
Enam pasukan Liga Perdana terdiri daripada
Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan
Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
FC pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak RM500,000.
Kelantan, Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang,
Kuantan dan PDRM didendak kerana gagal melengkapkan dokumen, manakala Selangor,
PKNS, MISC-MIFA dan UKM FC pula menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh
akhir pada 3 Februari lalu.
Denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan
dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan kepada pasukan tersebut.
Selain denda kewangan, pasukan terbabit turut
dikenakan pemotongan tiga hingga enam mata namun hukuman itu ditangguhkan
hingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.
Kevin menjelaskan, pasukan yang gagal menghantar
dokumen pada masa ditetapkan berdepan hukuman pemotongan enam mata, pasukan
lewat menghantar dokumen pula tiga mata.
“Buat masa ini hanya tiga pasukan yang telah
menghantar surat rayuan iaitu Selangor, Mifa dan UKM,” ujarnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan