KUNJUNGAN skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)
Bawah 16 (B-16) ke Jepun menyertai Piala Jenesys B-16 menjadi tarikan buat
negara Matahari Terbit itu memantau keupayaan dan taktikal pasukan kebangsaan.
Perkara berkenaan didedahkan oleh jurulatih Piala Belia SSMP-AMD
Panthers B-16, Raja Azlan Shah Raja So’ib yang diamanahkan untuk mengemudikan
skuad kebangsaan di kejohanan berkenaan di Miyazaki pada 8 hingga 12 Mac ini.
Katanya, perancangan teliti Persekutuan Bola Sepak Jepun (JFA)
yang memulakan langkah mengenal pasti taktikal dan corak permainan
negara-negara serantau pada tahap remaja amat dikagumi.
"Sebenarnya Jepun sudah mengikuti perkembangan kita sejak
penampilan pertama kita di Kejohanan Remaja, Piala Iber Costa del Sol 2015 di
Sepanyol.
"Tidak mustahil Kejohanan Piala Jenesys ini juga bakal
digunakan oleh Jepun untuk memantau dan menilai keupayaan pasukan-pasukan yang
bertanding," katanya ditemui di Wisma FAM sebelum bertolak ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini
Mengulas lanjut, Raja Azlan berkata skuad negara juga bakal
mengambil peluang beraksi di kejohanan berkenaan menimba ilmu serta pendedahan
di peringkat antarabangsa.
"Pemain yang kita bawa kali ini, mereka kurang pendedahan
di peringkat antarabangsa. Jadi ia akan menjadi batu loncatan kepada semua
pemain untuk bersaing merebut tempat bagi Kejohanan Remaja B-16 Konfederasi
Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada
September,” katanya.
Kejohanan Remaja B-16 AFC juga bertindak sebagai kelayakan Zon
Asia bagi Piala Dunia B-17 FIFA 2019, dengan empat pasukan teratas layak secara
automatik.
Pada masa yang sama, Raja Azlan berkata ia menjadi strategi
skuad negara untuk tidak membawa skuad terkuat ke Jepun kerana tidak mahu
mendedahkan kekuatan sebenar negara di samping mengekalkan keseimbangan
pendedahan bagi setiap pemain.
"Ia adalah salah satu faktor mengapa kita tidak membawa
pasukan utama selain untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara keseluruhan
kepada semua pemain," katanya.
Mengulas mengenai kejohanan di Jepun, jurulatih berusia 49 tahun
itu berkata sasaran mereka di sana adalah untuk untuk memenangi semua
perlawanan di sana.
"Tetapi yang paling penting bagi saya adalah pendedahan, mereka
perlu bermain pada tahap terbaik," katanya.
Malaysia
diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun B-15 dan Timor Leste sementara baki
sembilan pasukan lain berada dalam Kumpulan B iaitu Indonesia, Filipina dan
Kemboja; Kumpulan C iaitu Thailand, Singapura dan Brunei serta Kumpulan D iaitu
Vietnam, Laos dan Pilihan Miyazaki.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan