ZAQUAN (kiri) sedia tamatkan kemarau kemenangan
skuad Harimau Malaya. -Foto Facebook FAM
SKUAD bola sepak kebangsaan sudah bersedia menamatkan kemarau
kemenangan dalam 12 perlawanan apabila menyasarkan untuk menjadikan Bhutan
sebagai ‘mangsa pertama’ pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit
Jalil, Ahad ini.
Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak mengakui skuad Harimau
Malaya akan turun dengan keazaman tinggi dan berjuang habis-habisan bagi
mengelak daripada terus ‘kempunan’ menentang pasukan yang menghuni ranking
ke-188 dunia itu.
Malah, pemain sayap Kuala Lumpur itu mengharapkan rakan
sepasukan dapat mengekalkan rentak sama dan turun dengan mentaliti untuk menang
seperti yang diperagakan ketika bertemu Lubnan, kelmarin.
“Kami menanam mentaliti untuk menang sebelum bertemu Lubnan,
jadi itulah yang membuatkan semangat pemain tinggi namun tuah tidak menyebelahi
kami. Kami akan teruskan momentum ini dan memperbaiki lagi kelemahan yang ada.
“Saya percaya jika kami mengekalkan prestasi sama ketika menentang
Lubnan, tidak mustahil kami meraih kemenangan ke atas Bhutan,” katanya ketika
ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Pada masa sama, Zaquan turut menghamburkan pujian kepada rakan
sepasukan yang berjaya mencipta keserasian dengan baik meskipun berdepan
kekangan masa untuk melakukan persiapan.
“Walaupun hanya sempat berlatih dua hari, pemain berjaya
menyesuaikan diri dan memberi tentangan kepada Lubnan.
“Sebenarnya, tidak mudah berlatih dalam masa singkat dan
kemudiannya bertemu lawan yang sukar di tempat mereka. Jadi, saya sanjung
semangat perjuangan rakan,” katanya.
Pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di
Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut kelmarin, ‘barisan kedua’ Malaysia
nyaris merentap ego Lubnan sebelum tunduk 1-2 menerusi jaringan minit akhir
lawan.
Meskipun
tewas, skuad kebangsaan yang dibarisi ‘generasi baharu’ itu memperagakan aksi
yang jauh lebih baik dan memberangsangkan berbanding ketika seri 2-2 bertemu
Mongolia dalam aksi persahabatan di laman sendiri, minggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan