PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) optimis betapa pelantikan 14
pegawai pembangunan pengadil bagi setiap negeri mampu menggalakkan lagi
penyertaan pengadil muda dalam profesion berkenaan.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd
Salleh, 14 pegawai terbabit akan bertanggungjawab membantu pembangunan pengadil
di peringkat negeri dan memastikan pengadil Kelas 3 mengikuti segala tugasan
yang ditetapkan sebelum mereka mengambil peperiksaan Kelas 1.
“Pengadil Kelas 3 memiliki waktu rehat selama dua tahun sebelum
boleh mengambil peperiksaan Kelas 1 namun berdasarkan sistem sebelum ini, kita
agak ketinggalan terutamanya dari segi pembabitan pengadil muda.
“Selepas selesai mengambil peperiksaan Kelas 3, kebanyakan dari
mereka tidak terbabit dengan sebarang perlawanan dan tidak aktif dengan
persatuan bolasepak negeri (FA) ketika menunggu untuk mengambil peperiksaan
Kelas 1.
“Jadi pegawai pembangunan pengadil akan memantau pengadil yang
sudah lulus Kelas 3 supaya mereka dapat terus bergiat aktif. Jadi apabila
mereka mengambil peperiksaan Kelas 1 nanti, mereka bersedia untuk
sekurang-kurangnya menjadi pengadil Kelas B,” katanya pada sidang media di
Wisma FAM, hari ini.
Setakat ini, FAM memiliki 236 pengadil yang akan ditugaskan
untuk mengadili semua peringkat pertandingan termasuklah Liga Super, Liga
Perdana, Piala Presiden, Piala FAM dan juga Liga Bolasepak Rakyat (LBR).
Berdasarkan pecahan mengikut kelas, seramai 63 pengadil dalam
kategori Kelas A dan A1 sementara 79 pengadil Kelas B dan B1 manakala 98
pengadil lagi adalah pengadil Kelas C dan juga C1.
Mengikut pecahan negeri, Kuala Lumpur memiliki jumlah pengadil
paling ramai iaitu 32 orang diikuti Perak dengan 25 orang sementara Selangor
serta Melaka masing-masing memiliki 22 pengadil.
Sabah
dan Perlis memiliki jumlah pengadil yang paling rendah selepas masing-masing
sekadar memiliki lapan dan lima pengadil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan