KES doping membabitkan pemain muda, Ahmad Syihan Hazmi
seharusnya membuka mata semua pihak khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) yang sewajarnya bertindak lebih agresif untuk membendung gejala itu.
Biarpun kes Syihan gagal ujian doping berlaku di luar negara
ketika menyertai Kejuaraan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Changshu, China bulan
lalu, namun peringatan mengenai bahaya penggunaan bahan terlarang seharusnya
bermula di peringkat bawah lagi membabitkan pemain muda.
Tidak dinafikan FAM melaksanakan tugas dengan baik apabila
memberikan taklimat serta ujian doping secara rawak kepada pemain dalam saingan
Liga Super dan Liga Perdana namun sudah tiba masanya untuk mereka memberi fokus
secara keseluruhan.
Mungkin dengan menambah ujian doping kepada pemain muda yang
beraksi dalam Piala Presiden dan Piala Belia boleh memberi pendedahan dan
peringatan awal supaya mereka tidak mengambil mudah mengenai isu berkenaan.
Menurut jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, langkah
untuk melakukan ujian doping bagi saingan liga B-21 dan B-19 itu wajar
dipertimbangkan memandangkan kes doping kini turut membabitkan pemain muda.
“Kita agak terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku ke atas
Syihan kerana dia masih muda. Seminggu sebelum kejohanan itu bermula, kita sudah
ada taklimat khas mengenai ujian doping dan mengingatkan kepada semua pemain
jadi kita tak menyangka kes seperti ini masih boleh berlaku.
“Jadi sesuatu harus dilakukan, mungkin FAM atau FMLLP
(Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) boleh mempertimbangkan
cadangan untuk melakukan ujian doping kepada pemain muda yang beraksi dalam
Piala Presiden dan Piala Belia. Ini sebagai pendedahan dan peringatan awal
kepada mereka.
“Kita tahu ujian doping ini memerlukan kos agak besar tapi kita
perlu melakukan sesuatu untuk mencegahnya. Kerana mungkin ada pemain yang
mengambil makanan tambahan bukan ketika kejohanan tapi sebelum itu lagi,”
katanya ketika ditemui hari ini.
Syihan yang disahkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gagal
ujian doping sampel A mengakui ada mengambil bahan sumber protein yang mungkin
menjadi penyebab dia positif bahan terlarang, metabolite methandienone.
Pemain berusia 22 tahun itu yang kini mewakili Negeri Sembilan,
digantung selama 60 hari daripada beraksi dalam sebarang perlawanan sehingga
menunggu keputusan ujian sampel B.
Untuk
rekod, pada Julai 2016, dua pemain PDRM dan Perak, Muhammad Shafiq Jamal dan
Muhammad Firdaus Saiyadi digantung dua tahun daripada sebarang aktiviti
berkaitan bola sepak ekoran positif ujian doping.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan