MANA-mana ‘kaki’ pencetus kekecohan di stadium perlu
berhati-hati selepas ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil
dengan idea baru untuk mengekang masalah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli
Abdullah mengesahkan badan induk itu sudah mengenalpasti individu tertentu
khususnya ketua kumpulan penyokong yang memiliki rekod dalam menggugat
ketenteraman awal sebelum ini.
“Ini adalah salah satu langkah yang sudah diambil bagi
memastikan bahawa masalah kekecohan di stadium dapat dicegah dan kita
sebenarnya ada maklumat mengenai kelompok sebegini.
“Jika perlu, kita akan menyarankan kepada persatuan bolasepak
(FA) negeri untuk tindakan selanjutnya dan berkemungkinan kita akan
mencadangkan supaya mereka dihalang daripada memasuki stadium pada masa akan
datang.
“Apapun, buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan kelompok
penyokong daripada negeri mana kerana tiada insiden lagi yang dilaporkan
berlaku setakat ini.
“Apapun, memang kita memiliki rekod penyokong yang cenderung
mencetuskan kekecohan dan jika berlaku lagi, kita akan dedahkan mereka serta FA
juga akan berdepan hukuman denda,” katanya ketika ditemui pada Seminar
Keselamatan Bola Sepak FAM 2018 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari
ini.
Pada sama sama, Zulkifli juga menjelaskan jawatankuasa itu akan
mengadakan lawatan ke setiap stadium di seluruh negara untuk menjalankan
pemeriksaan terhadap tahap keselamatan di stadium terbabit.
“Jika ada stadium yang masih lagi kekurangan tahap
keselamatannya, kita akan memberikan nasihat supaya ia dapat dipertingkatkan
bagi meminimumkan masalah sekiranya ada perkara tidak diingini berlaku.
“Ini
juga bagi memastikan supaya pengetahuan yang sudah diberikan ketika seminar
hari ini dapat dipraktikkan untuk meningkatkan tahap keselamatan di setiap
stadium,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan