Kelmarin, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-4 kepada juara edisi pertama, Iraq, manakala Jordan diikat 2-2 oleh Arab Saudi selepas pertemuan Malaysia dan Iraq di venue sama.
Atas kertas, Jordan harus mencari lebih tiga gol tanpa bolos menentang Malaysia selain mengharapkan Arab Saudi menewaskan atau seri tanpa jaringan bertemu Iraq jika mahu menjadi pendahulu Kumpulan C.
Bagaimanapun Brunskill berpendapat, benteng pertahanan Malaysia akan menjadi semakin bagus tetapi pada masa sama pengendali kelahiran England itu mahu anak-anak buahnya mengintai kemenangan pertama.
“Kami berharap boleh menang ke atas Malaysia. Seperti perlawanan-perlawanan terdahulu, kami akan menggunakan cara sendiri dan Malaysia sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada kami.
“Kami harus bersedia tetapi Malaysia yang bermula dengan kekalahan sudah pasti akan menjadi lawan cukup sukar buat Jordan.
“Mereka sudah pasti akan bekerja lebih keras untuk perlawanan seterusnya tetapi Malaysia telah tewas dalam aksi pertama dan bukan mudah menentang mereka untuk perlawanan seterusnya.
“Saya tidak tahu berapa jaringan (untuk menewaskan Malaysia), tetapi apa yang menjadi fokus utama adalah tiga mata. Itu yang lebih mustahak,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan menentang Arab Saudi semalam.
Dalam aksi itu, Jordan mendahului dua gol awal menerusi jaringan kaptennya, Baha Faisal Mohamad pada minit ke-12 dan ke-78.
Bagaimanapun, kelebihan pemenang tempat ketiga AFC B-23 pada tahun 2013 itu tidak bertahan lama apabila Abdulelah Alamri meledak gol pertama Arab Saudi (m-85) sebelum pemain gantian, Rakan Alanaze menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-94.
 Richard Brunskill
Richard Brunskill