CHANGSHU 10 Jan. -
Penyerang N. Thanabalan mengakui bukan mudah untuk dirinya menerebos benteng
pertahanan Iraq memandangkan lawan mempunyai kelebihan fizikal apabila
kedua-dua pasukan bakal memulakan kempen Kumpulan C Kejuaraan AFC bawah 23
tahun (B-23) di Stadium Changshu, China pukul 4 petang hari ini.
Thanabalan, yang muncul
penjaring terbanyak Malaysia selepas meledak empat gol dalam kempen Sukan SEA
2017 pada Ogos lalu berkata, dia perlu menggunakan kelebihan kelajuan yang ada
dirinya untuk menembusi gawang lawan.
“Persiapan terakhir kami
berjalan dengan lancar dan saya fikir yang main untuk perlawanan esok
kebanyakannya adalah mereka yang selalu diturunkan oleh jurulatih kerana sudah
biasa dengan taktikal permainan.
“Memang saya akui saiz
tubuh badan pemain Iraq lebih besar berbanding kami namun saya fikir kami perlu
mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengatasinya.
“Saya fikir dengan
menggunakan kelajuan yang ada pada pemain mungkin kami dapat mengatasi pemain
Iraq kerana tiada guna untuk kami menggunakan fizikal untuk mencabar mereka,”
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Thanabalan yang sudah
mampu membiasakan diri dengan keadaan cuaca di China turut mengharapkan doa dan
restu daripada peminat bola sepak terutamanya sebelum memulakan kempen mereka
esok.
“Ini adalah penampilan
pertama kita dalam kejohanan ini dan sudah pasti kita mahukan permulaan yang
baik untuk perlawanan pertama dan saya berharap agar semua peminat bola sepak
tanah dapat mendoakan kejayaan untuk kami semua,” katanya.- UTUSAN ONLINE
THANABALAN muncul penjaring terbanyak Malaysia selepas
meledak empat gol dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.- FOTO
UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

Tiada ulasan:
Catat Ulasan