SELEPAS tiga perlawanan termasuk berhempas pulas menewaskan
Australia 3-2 semalam, jurulatih Korea Selatan Kim Bong-Gil berharap anak
buahnya segera pulih daripada kepenatan menjelang pertemuan menentang Malaysia
pada suku akhir di Stadium Kunshan, Sabtu ini.
Korea Selatan melengkapkan senarai lapan pasukan terbaik di
Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun dengan muncul
juara Kumpulan D diikuti Vietnam di tempat kedua.
Kedudukan itu membolehkan mereka bertemu skuad kendalian Datuk Ong
Kim Swee yang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak
2013.
Bong-Gil mengakui anak buahnya bergelut dengan masalah fizikal
menentang Australia apabila membenarkan pasukan lawan bangkit menyumbat dua gol
selepas ketinggalan tiga gol.
"Dalam perlawanan sebelum ini kami ada masalah di bahagian
serangan tapi kami masih berjaya menjaringkan tiga gol, jadi saya amat gembira.
Tapi pemain kami keletihan sehingga dibolosi dua gol pada babak kedua.
"Tapi saya berbangga dengan pemain kerana mereka mengikut
segala arahan dalam permainan," katanya.
Korea Selatan memiliki rekod baik apabila meraih tempat kedua
pada edisi terakhir 2016 di Qatar selepas tewas 2-3 kepada seteru utama, Jepun
2-3 di final.
Malah, pada pertemuan terakhir menentang skuad B-23 negara di
Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan 2014, pasukan tuan rumah itu menewaskan anak
buah Kim Swee 3-0.
Bagaimanapun, Bong-Gil mahu pemainnya beraksi lebih yakin jika
mahu terus bersaing dalam kempen kali ini.
"Pemain kami kurang yakin dan saya mahu mereka lebih yakin
apabila turun beraksi serta lebih bertenaga," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan