SKUAD negara berdepan satu lagi cabaran getir di Kejohanan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) apabila menentang Korea
Selatan pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan, Sabtu ini.
Naib juara 2016 itu muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan
Australia 3-2 pada perlawanan terakhir sebentar tadi untuk mengutip tujuh mata
diikuti Vietnam di tangga kedua dengan empat mata.
Berdasarkan kedudukan itu, skuad kendalian Jeong Jeong-Yong
bakal membuat perhitungan dengan Malaysia yang melepasi halangan Kumpulan C
selaku naib juara.
Dalam perlawanan di Stadium Changshu, Korea Selatan membuka
tirai jaringan menerusi jaringan Lee Keun-Ho pada minit ke-18 sebelum Han
Seung-Gyu menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat babak pertama.
Korea Selatan semakin selesa apabila Keun-Ho sekali lagi meledak
pada minit ke-65.
Bagaimanapun, Australia tidak mudah mengalah dan menjadikan
saingan lebih dramatik dengan Nick Cowburn dan Trent Buhagiar merapatkan
kedudukan di minit ke-72 dan 76.
Ia kemenangan kedua Korea Selatan selepas menewaskan Vietnam 2-1
dan seri 0-0 dengan Syria sebelum ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan