KUNSHAN, China 20 Jan. - Walaupun jaringan N. Thanabalan gagal membantu Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23), namun penyerang itu berkata Malaysia sudah membuktikan mereka tidak mudah patah semangat meskipun terlebih dahulu ketinggalan satu gol.
Malaysia gagal menempatkan diri dalam empat pasukan terakhir apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan suku akhir di Stadium Kunshan, hari ini.
Thanabalan berkata, dia dan rakan-rakan sudah membuktikan mereka boleh memberikan tentangan di peringkat Asia.
“Tidak dinafikan Korea memang pasukan yang hebat kerana mereka pernah beraksi dalam Piala Dunia dan mempunyai pengalaman yang luas dalam kejohanan besar seperti ini, namun jika diperhatikan semula tidak banyak perbezaan antara kami dengan mereka.
“Kami boleh memberikan saingan kepada mereka bukannya tidak boleh malah saya berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh pasukan cuma saya tidak nafikan memang berasa kecewa kerana gagal membantu pasukan mara ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini, hari ini.
Thanabalan yang turun sebagai pemain gantian selepas Nik Akif Syahiran dikeluarkan pada minit ke-59, meledak gol penyamaan selang lapan minit kemudian.
Korea terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Cho Jae-wan 15 saat selepas wisel sepak mula dibunyikan, sebelum Han Seunggyu meledak gol kemenangan pada minit ke-84.
Kehebatan Thanabalan menjaringkan gol tidak dapat dinafikan lagi apabila bekas pemain Felcra FC itu meledak dua gol di peringkat kelayakan dan paling mencuri tumpuan apabila dia muncul penjaring terbanyak Malaysia dengan empat gol dalam kempen Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.
Mengulas lanjut mengenai kejayaannya membolosi gawang lawan, penyerang 23 tahun itu berkata, biarpun hilang rentak permainan seketika selepas tidak diturunkan dalam dua perlawanan menentang Jordan dan Arab Saudi di peringkat kumpulan, namun tidak menjejaskan prestasi dirinya untuk membantu pasukan memburu gol.
“Walaupun saya bertindak sebagai pemain gantian saya fikir itu bukan masalah untuk saya mencari gol penyamaan walaupun saya dimasukkan pada babak kedua.
“Terima kasih kepada Safawi Rasid kerana memberi hantaran cantik kepada saya untuk menanduk masuk bola ke dalam gawang,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan