PENYERANG sensasi Jordan, Baha' Faisal Mohamad menyifatkan mereka seperti harimau terluka apabila berdepan Malaysia esok, selepas mensia-siakan peluang meraih kemenangan pada aksi pembukaan kempen Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, kelmarin.
Jordan seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila terlepas mengutip tiga mata pada perlawanan pertama itu apabila membenarkan Arab Saudi bangkit mengikat kedudukan 2-2 selepas mendahului dua gol sehingga minit ke-85.
Baha' Faisal yang meledak kedua-dua gol itu mengakui kecewa dengan keputusan yang dicapai, namun yakin mereka dapat menebusnya dengan menjadikan Malaysia sebagai mangsa.
"Saya fikir keputusan seri itu tidak adil buat kami. Kami mendahului 2-0 hingga minit ke-85 dan menamatkan permainan dengan keputusan seri bukan keputusan baik. Kesilapan individu dan terlalu ghairah menyerang menyebabkan kami dihukum.
"Namun, barisan kejurulatihan sudah menguatkan semula mental kami untuk bersedia menentang Malaysia.
"Kami akan berusaha keras memenangi perlawanan kedua sekali gus mendapatkan tiga mata dan kemudian baru kami fokus untuk menjaringkan banyak gol," katanya.
Baha' Faisal yang juga kapten pasukan adalah penjaring terbanyak Jordan di pusingan kelayakan dengan tujuh gol dan pernah meledak enam gol ketika beraksi bersama skuad kebangsaan membelasah Bangladesh 8-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 Mac tahun lalu.
PENYERANG Jordan, Baha' Faisal Mohamad (kiri) diasak pemain Arab Saudi, Sultan Al-Ghanam pada aksi pertama Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, kelmarin. - Foto AFC

Tiada ulasan:
Catat Ulasan