KAPTEN skuad negara, Adam Nor Azlin mengingatkan rakan sepasukan
agar tidak hanya menjadi penumpang dalam pasukan apabila berdepan Arab Saudi
pada aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23)
Tahun di Stadium Kunshan, China esok.
Sebaliknya, Adam menuntut mereka membuktikan kemampuan
masing-masing tatkala mereka berpeluang untuk melakar sejarah mara ke suku
akhir pada penampilan pertama di kejohanan ini andai meraih kemenangan ke atas
naib juara edisi pertama 2013.
Menurut Adam, semua pemain kini sudah bersedia apatah lagi
selepas mempamerkan aksi meyakinkan ketika seri 1-1 dengan Jordan di Stadium
Changshu biarpun dikejutkan dengan kekalahan 1-4 di tangan Iraq pada perlawanan
pembukaan.
“Ketika menentang Jordan, kita nyaris mendapat tiga mata, saya
rasa jika kita kekalkan disiplin dan momentum, tak mustahil kita boleh kalahkan
Arab Saudi.
“Semua pemain perlu sedar kita datang sini bukan sekadar
penumpang, bagi saya pemain simpanan dan kesebelasan utama perlu bersedia 200
peratus. Untuk naikkan semangat, pemain kena bersatu untuk perlawanan menentang
Arab Saudi kerana ia bukan tugas mudah,” katanya ketika ditemui pada sesi
latihan semalam.
Jelas Adam, 22, yang memikul tugas berat mengemudi benteng
pertahanan, mereka kena sentiasa berwaspada kerana Arab Saudi tidak akan mudah
menyerah kalah seperti ketika bangkit mengikat Jordan 2-2 biarpun ketinggalan
dua gol.
“Mereka
akan bermain sehingga minit terakhir, bagi saya kita kena perlu beri fokus yang
tinggi sehingga wisel penamat. Kita kena menggunakan kepantasan dan
kebijaksanaan untuk menewaskan mereka,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan