JURULATIH Jordan, Iain Richard Brunskill meramalkan akan berlaku
kejutan dalam saingan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
Bawah 23 (B-23) Tahun yang bermula di Changshu, China esok.
Pengendali kelahiran England itu berkata, saingan Kumpulan C
yang turut membabitkan juara edisi 2013, Iraq, naib juara Arab Saudi serta
Malaysia pasti mencabar buat anak buahnya.
“Standard kejohanan ini tinggi, ramai pemain yang berbakat dan
setiap pasukan membuat persiapan rapi. Saya percaya akan berlaku kejutan dalam
saingan kumpulan ini,” katanya dalam sidang media praperlawanan, hari ini.
Pencapaian Jordan di pusingan akhir agak memberangsangkan
apabila menduduki tempat ketiga pada edisi pertama di Oman 2013 manakala
terkandas di suku akhir dua tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka bakal berdepan ujian hebat pada aksi
pembukaan menentang Arab Saudi di Stadium Changshu jam 7.30 malam esok.
“Arab Saudi pasukan yang bagus, mereka pernah beraksi di final
sebelum ini dan mempunyai pemain yang bagus. Namun, kami bukan hanya membuat
persiapan menentang Arab Saudi tapi untuk setiap perlawanan. Saya harap kami
dapat bermula dengan keputusan positif,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Arab Saudi, Daniel Teglia menegaskan
mereka tidak tertekan meskipun diletakkan harapan tinggi untuk melepasi
halangan Kumpulan C.
“Kami gembira beraksi di pusingan akhir ini. Saya akui saingan
Kumpulan C sukar tapi kami mempunyai pemain yang bagus untuk memberikan
saingan. Tiada perlawanan yang mudah dan kemenangan pertama esok penting untuk
kami layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Arab
Saudi layak ke pusingan akhir selepas muncul naib juara kelayakan Kumpulan B
tahun lalu di belakang Iraq yang turut menewaskan mereka 1-0 pada final
pusingan akhir edisi 2013 di Oman.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan