KUNSHAN, China 16 Jan. - Jurulatih skuad bawah
23 (B-23) Arab Saudi, Daniel Edgardo menafikan pasukannya memandang rendah
keupayaan Malaysia sehingga tewas 0-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C, sekali
gus tersingkir daripada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23
(B-23) hari ini.
Kata Edgardo, walaupun Arab Saudi turun dengan
status naib juara 2013 dan Malaysia pula dilihat sebagai lawan paling lemah
dalam Kumpulan C, namun beliau tidak pernah mengambil mudah cabaran anak-anak
Datuk Ong Kim Swee, malah memuji ketangkasan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.
“Tidak. Saya tidak pernah memandang rendah
terhadap Malaysia, malah pasukan lain. Kami cuba sedaya upaya untuk melepasi
peringkat kumpulan namun keadaan tidak memihak kepada kami.
“Saya kagum melihat penjaga gol Malaysia di mana
dia memberi arahan dengan baik di benteng pertahanan dan saya melihat dia
bertahan dengan baik. Saya akui dia bagus,” kata kepada pemberita dalam sidang
akhbar hari ini.
Kata Edgardo lagi, walaupun Malaysia hanya
dihidangkan satu peluang terbaik, mereka berjaya memanfaatkannya berbanding
anak-anak buahnya yang bekerja keras tetapi gagal melakukan penyudah.
“Kami sudah berusaha sedaya yang termampu, malah
kami juga mengubah strategi dengan melakukan hantaran bola jauh namun masih
gagal membolosi gawang Malaysia. Lawan hanya ada satu peluang sahaja dan mereka
menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin.
“Saya akui perlawanan pada hari ini amat tegang
kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan dan saya tidak nafikan pemain
saya juga berasa gemuruh,” katanya lagi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Danial
Amier Norhisham pada minit ke-28 dan skuad muda negara muncul naib juara
Kumpulan C di belakang Iraq yang menang tipis 1-0 ke atas Jordan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan