Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 3 April 2018

Afandi saran kemenangan percuma buat Hamidin


BEKAS Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang mengesyorkan kepada semua ahli gabungan supaya sebulat suara memberi 'kemenangan percuma' kepada Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Semua 20 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran supaya mengelak daripada mencetuskan 'pertembungan' untuk merebut kerusi presiden pada kongres ke-54 badan induk itu, 14 Julai depan.
Saranan itu dilontarkan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang mengesyorkan kepada semua ahli gabungan supaya sebulat suara memberi 'kemenangan percuma' kepada Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin selaku peneraju baharu badan induk itu.
Meskipun mengakui pemilihan jawatan presiden perlu bersifat demokrasi dan terbuka kepada semua pihak, namun Afandi menggesa Exco supaya dapat memudahkan lagi perjalanan pada kongres itu selepas mengambil kira faktor Hamidin sebagai calon yang layak untuk menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Saya mengenali Hamidin secara peribadi dan sudah tentu saya bersetuju menyatakan Hamidin sememangnya layak untuk menjadi presiden. Dengan pengalamannya yang luas selaku pentadbir, ini membuktikan beliau memiliki kemampuan untuk menjadi pemimpin.
"Malah hubungan baiknya dengan persatuan sukan dalam dan luar negara juga dilihat mampu meneruskan perancangan yang sudah disusun.
"Tunku Ismail sendiri yang mencalonkan namanya jadi sudah tentu beliau (Tunku Ismail) percaya dengan kredibilitinya.
"Justeru saya melihat lebih baik sekiranya tiada persaingan untuk merebut jawatan presiden pada kongres nanti.
"Exco perlu merealisasikan hasrat Tunku Ismail yang mahukan Hamidin supaya menjadi Presiden FAM yang baharu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, menerusi mesyuarat khas pertama Exco FAM bagi penggal 2017-2021, Hamidin dicalonkan sebagai presiden baharu susulan peletakan jawatan penyandangnya, Tunku Ismail pada 25 Mac lalu.
Hamidin yang menyandang jawatan tugas Setiausaha Agung sejak 2013 di bawah teraju tiga presiden mengesahkan bersedia untuk merebut jawatan nombor satu itu selepas mendapat sokongan penuh Exco FAM.
Sehubungan itu, FAM mengedarkan kertas pencalonan kepada 20 ahli gabungan untuk menamakan calon pilihan masing-masing bagi merebut 'kerusi panas' itu hingga pencalonan ditutup pada 11 Mei ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan