KUALA LUMPUR 1 April - Harimau Malaya wajar
berterima kasih kepada Bhutan kerana membenarkan Malaysia menoktahkan kemarau
kemenangan daripada terus berpanjangan apabila membelasah skuad kendalian
Trevor Morgan itu 7-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
hari ini.
Itu merupakan kemenangan pertama yang dicipta
oleh pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa selepas kali terakhir mereka
melakukannya pada 20 November 2016 ketika menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi
Kumpulan B Piala AFF.
Walaupun Malaysia meraih kemenangan besar
namun tiada apa yang boleh dibanggakan kerana itulah yang diharapkan daripada
mereka memandangkan Bhutan merupakan pasukan belasahan dalam kempen kelayakan
Piala Asia 2019 dengan menghuni tangga ke-188 dunia berbanding Harimau Malaya
di tangga ke-178.
Sebelum ini anak-anak buah Tan Cheng Hoe
menerima kecaman apabila gagal menewaskan Mongolia yang berada di kedudukan
ke-189 apabila seri 2-2 dalam aksi persahabatan di venue yang sama pada 22 Mac
lalu.
Sembilan minit kemudian, Zaquan mengukuhkan
kedudukan apabila menyempurnakan penalti apabila Wan Zack dijatuhkan oleh Chimi
Dorji.
Selang lapan minit kemudian Irfan Zakaria menjaringkan gol ketiga
berpunca daripada sepakan penjuru Wan Zack.
Gol keempat tuan rumah diperoleh pada minit
ke-37 selepas rembatan Zaquan gagal ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol
Bhutan, Kinzang Gyeltshen sebelum penyerang dari Negeri Sembilan itu meledak
gol ketiganya selang tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus
bernafsu memburu gol apabila Zaquan sekali lagi merobek gawang lawan pada minit
ke-55 setelah menerima hantaran daripada Nazirul Naim Che Hashim.
Gawang Bhutan sekali lagi dibolosi tuan rumah
apabila giliran Syafiq Ahmad menjaringkan pada minit ke-74.
Kemenangan ini pastinya mampu menaikkan
semangat pemain negara yang sebelum ini menerima kritikan daripada peminat bola
sepak tempatan walaupun sekadar bertemu pasukan yang boleh diibaratkan bukan
lawan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan