Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 3 April 2018

Harimau Malaya tamatkan badi

Skuad kendalian Cheng Hoe catat kemenangan pertama sejak 2016


CHENG HOE masih belum berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun skuad Harimau Malaya menang besar ke atas Bhutan 7-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Skuad kebangsaan akhir­nya berjaya menamatkan badi 12 kali bertarung tanpa sebarang kemenangan selepas berpesta gol 7-0 ketika membelasah skuad Bhutan pada perlawanan persaha­batan antarabangsa di Stadium Nasio­nal, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Jaringan empat gol Zaquan Adha Abd. Razak ternyata memberikan kelegaan buat pe­ngendalinya, Tan Cheng Hoe yang giat mencari titik kebangkitan semula skuad Harimau Malaya setelah mengalami kemarau kemenangan hampir dua tahun.

Cheng Hoe mengakui pemainnya masih leka dalam beberapa situasi meskipun mereka dapat menumpaskan skuad Bhutan yang terdiri daripada ramai pemain semi-pro.

“Setiap pemain perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada pada malam ini (kelmarin) sebagai persediaan untuk perlawanan persahabatan seterusnya pada Julai depan.

“Kita perlu tunjuk bahawa kita mampu menang dengan usaha serta corak permainan yang dipamerkan supaya dapat menyumbangkan sesuatu buat pasukan.

“Pada masa sama, saya berharap semua pemain dapat mengekalkan aksi konsisten serta mempersembahkan penampilan terbaik bagi membantu antara satu sama lain apabila beraksi di atas padang,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.

Turut mencipta nama sebagai penjaring pada perlawanan tersebut ialah Wan Zack Haikal Wan Noor, Irfan Zakaria dan Syafiq Ahmad selepas masing-masing menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemena­ngan bergaya Harimau Malaya di hadapan lebih 5,900 penyokong tuan rumah.

Tambah Cheng Hoe, barisan kejurulatihan skuad kebangsaan akan melihat kemampuan pemain terlebih dahulu sebelum menentukan formasi permainan bagi setiap perlawanan yang dihadapi.

“Kita akan melihat prestasi pemain dari setiap aspek bagi memastikan formasi yang digunakan mampu membuahkan hasil.

“Berdasarkan perlawanan ini, saya melihat pemain perlu lebih bekerja keras untuk melakukan penyudah dengan lebih baik bagi mencipta lebih banyak gol pada masa akan datang.

“Namun, barisan pertahanan juga perlu dititikberatkan untuk memastikan permainan berada dalam keadaan yang seimbang,” ujarnya.

Kejayaan menumpaskan Bhutan yang dibarisi masing-masing lima pemain sekolah menengah dan penuntut universiti selain kakitangan kerajaan serta swasta, sekali gus mampu menaikkan kembali semangat penyokong Harimau Malaya yang terkesan selepas ranking skuad negara jatuh tiga anak tangga ke-178 dunia bulan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan