Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 27 September 2020

#KICKOFF TAJIKISTAN U-19 - MALAYSIA U-19

PJ City badi JDT

 

Pemain Pj City meraikan gol ketika menentang JDT, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: PJ City harus dilabel badi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila sekali lagi membuat Harimau Selatan kecewa apabila berjaya mengikat bakal juara itu 2-2 pada aksi Liga Super, kelmarin.

Kejayaan anak buah K Devan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu sekali gus menangguhkan seketika hasrat pelawat untuk meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Mengikut rekod, ini bukan kali pertama skuad 'Phoenix' mengecewakan JDT kerana sebelum ini, mereka pernah menewaskan gergasi itu 2-1 pada aksi Piala Malaysia 2018 disusuli kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super 2019 di mana kedua-dua perlawanan berlangsung di tempat lawan.

Bagaimanapun, Devan menjelaskan tiada rahsia di sebalik kejayaan mengekang JDT memandangkan ia disebabkan pemain berjaya mengikut perancangan yang sudah disusun selain disiplin tinggi yang ditunjukkan.

"Kita menunjukkan tahap persembahan yang berbeza apabila menentang JDT yang sememangnya diketahui pasukan terbaik di Malaysia. Ia bukanlah perlawanan yang berat sebelah dan kita berjaya memberi saingan sengit dan tidak menjadi pasukan belasahan.

"Kita turun tanpa kekuatan penuh kerana kita kehilangan dua pemain import sebelum perlawanan dan seorang lagi cedera ketika perlawanan. Jadi dengan dua pemain import dan barisan pemain tempatan, saya anggap ini satu keputusan yang membanggakan," katanya.

Devan berkata, perubahan taktikal terpaksa dilakukan selepas mengambil kira kekuatan yang dimiliki JDT dan dengan keputusan seri yang diperoleh, sekurang- kurangnya mereka berjaya memperoleh satu mata berharga untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Kita membuat taktikal mengikut kesesuaian dan berdasarkan beberapa keputusan perlawanan JDT sebelum ini, kita tahu kita tidak boleh bermain secara terbuka. Tetapi kita tidaklah 'parking bas' selama 90 minit kerana kita juga perlu menyerang untuk mendapatkan gol.

"Kita mengasak JDT menggunakan serangan balas dan corak permainan pantas. Menerusi taktikal ini, kita berjaya mendahului mereka pada satu ketika namun sedikit kesilapan menyebabkan kita terikat 2-2," katanya.

KFA janji langsai tunggakan gaji Rabu ini

 

Pemain Kedah boleh tersenyum apabila akan terima tunggakan gaji tiga bulan sebelum 30 September ini.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan tiga bulan gaji pemain dan barisan jurulatih Lang Merah sebelum 30 September ini.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tunggakan gaji itu membabitkan bayaran bagi April, Mei dan Jun, manakala gaji semasa sudah dibayar.

"Kita tak ada masalah dalam menyelesaikan gaji semasa dengan gaji Julai, Ogos dan September tahun ini sudah kita lunaskan.

"Manakala untuk April, Mei dan Jun yang tertunggak akan kita selesaikan sebelum 30 September ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman bagi diagihkan kepada 88 keluarga di rumah pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Sementara itu, Sanusi menjelaskan KFA tidak berhadapan sebarang masalah berkaitan proses pelesenan kelab seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tertangguh sebelum ini.

Katanya, KFA kini sedang mendapatkan persetujuan pemain bagi melengkapkan urusan pelesenan selain sudah menghantar surat kepada FAM berhubung perkara itu semalam.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak menyifatkan pembayaran tunggakan gaji sebagai sesuatu yang positif buat anak buahnya.

"Sudah tentu perkara itu menambah moral pemain menjelang penghujung saingan liga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dollah puji kebangkitan Tok Gajah

 

Nik Muhammad Sharif melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol ketika menentang Kedah, malam tadi.

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji kebangkitan anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Tiga mata yang diraih itu juga meletakkan kedudukan skuad Tok Gajah lebih selesa terutama mengelak berada dI zon penyingkiran dalam saingan Liga Super musim ini.

"Tahniah kepada semua pemain kerana memberikan yang terbaik untuk kembali mencatat kemenangan selepas seri 2-2 berdepan Felda United FC minggu lalu.

"Kami sebenarnya menguasai permainan pada separuh masa pertama tetapi satu kesilapan dan serangan balas yang dilakukan lawan, mereka dapat menjaringkan gol pendahuluan.

"Tetapi saya bangga dengan pemain kerana tidak berputus asa dan meneruskan permainan dengan baik yang menyaksikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama," katanya.

Pada aksi malam tadi, Pahang ketinggalan menerusi gol Tchetche Kipre pada minit ke-15 sebelum bangkit dengan dua gol masing-masing dijaringkan Adam Reed (m40) dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (m46).

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak akur skuad itu gagal menyekat Pahang daripada melakar kemenangan sekali gus melebur rekod lima kemenangan berturut-turut Lang Merah.

Namun, katanya, kekalahan itu tidak mengejutkan kerana sudah menjangkakan tentangan sengit tuan rumah.

"Bagaimanapun, saya tetap memuji persembahan yang dipersembahkan pemain walaupun gagal melakar kemenangan atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.

"Tumpuan kini mengutip mata apabila bertemu Melaka dan Perak," kata jurulatih dari Singapura itu.

Feichtenbeiner hairan Selangor hilang punca

 


Aksi pemain Selangor dan UiTM pada aksi Liga Super malam tadi.

KUALA LUMPUR: Tempoh 15 minit pertama selepas babak kedua bersambung disifatkan sebagai 'mimpi ngeri' buat Selangor selepas pasukan itu yang selesa mendahului 2-0 secara tiba-tiba ketinggalan 3-2 di tangan UiTM FC, malam tadi.

Situasi itu diakui pemangku jurulatihnya, Micheal Feichtenbeiner yang melihat anak buahnya seakan hilang punca apabila kembali ke padang selepas rehat meskipun pemainnya beraksi dengan begitu cemerlang pada 45 minit pertama perlawanan.

Meskipun dia berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih namun secara keseluruhan, dia tidak begitu gembira memandangkan dia sememangnya sudah mengimpikan untuk pulang dengan mata penuh pada aksi terbabit.

"Berdasarkan pemahaman saya, pemain beraksi dengan baik di mana kita mendominasi perlawanan dan mencipta beberapa peluang menentang pasukan yang sukar seperti UiTM FC. Persembahan yang amat baik pada babak pertama apabila kita menghasilkan dua gol.

"Tetapi selepas rehat, mungkin kita kehilangan sedikit fokus dan UiTM FC memang berbahaya dalam situasi bola mati. Akhirnya, malapetaka berlaku dalam tempoh 15 minit selepas rehat dan situasi itu menafikan kemenangan buat kita.

"Apa yang bagus pemain terus bersemangat di mana mereka tidak berputus ada dan cuba bangkit selepas ketinggalan. Kita bernasib baik kerana mendapat gol penyamaan pada minit akhir dan mengutip sekurang kurangnya satu mata," katanya.

Pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam itu, Selangor terpaksa bergantung kepada sepakan penalti minit terakhir yang disempurnakan Ifedayo Olusegun untuk mengikat kedudukan 3-3 selepas mereka mensia-siakan kelebihan dua gol apabila membenarkan UiTM FC bangkit mendahului 3-2 pada babak kedua.

Sementara itu, jurulatih The Lion Troops, Frank Bernhardt tampak berpuas hati sekalipun dikecewakan dengan sepakan penalti minit akhir kerana satu mata yang diraih itu memastikan kedudukan mereka dalam Liga Super musim depan terjamin.

"Dari sudut positif, kami akan 100 peratus kekal dalam Liga Super apabila mengutip satu mata malam ini (kelmarin). Permulaan kita kurang baik kerana kami kehilangan beberapa pemain jadi sebab itulah kita agak longlai pada babak pertama.

"Selangor beraksi dengan penuh bertenaga tetapi mungkin sebab itulah mereka tidak dapat mengekalkan rentak pada babak kedua. Jadi kita menggunakan kesempatan itu sebaiknya untuk mendapatkan gol. Babak kedua lebih mudah buat kita," katanya.

Liga M bukan 'liga petani'

 


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Adakah Liga Malaysia (Liga M) kini boleh dianggap sebagai 'liga petani' selepas hanya satu pasukan yang mampu merangkul kejuaraan dan pasukan lain terus ketinggalan apabila sekadar memburu gelaran naib juara?

Ketika ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) sedang berada di ambang kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan situasi ini menyaksikan dominasi mereka dalam saingan domestik terus gagal dicabar mana-mana pasukan.

Malah, dengan penswastaan pasukan bermula musim depan, timbul persoalan jika situasi itu akan terus melebarkan jurang antara pasukan yang mampu berbelanja besar dengan pasukan yang perlu bekerja dengan bajet yang terhad.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kemajuan bola sepak di negara ini sepatutnya tidak terikat dengan pendapatan ataupun perbelanjaan sesebuah pasukan.

Jelasnya, jurang yang dapat disaksikan ketika ini bukanlah kerana gaji ataupun perbelanjaan tetapi ia lebih kepada jurang aspek teknikal yang tidaklah begitu besar dan mampu untuk 'dikejar' pasukan lain menerusi perancangan yang lebih strategik dan efektif.

"Industri kita sedang membangun dan bola sepak kita pun berada dalam proses transformasi. Kalau ada pelaburan daripada segi latihan dan infrastruktur, jurang perbelanjaan itu tidak besar kerana ia ditunjukkan dengan persembahan di atas padang.

"Jadi, kalau kita lihat jurang antara JDT dengan pasukan lain, saya boleh kata sendiri ia bukanlah jurang duit tetapi jurang bola sepak yang mana ia membabitkan aspek seperti pelaburan, infrastruktur, nutrisi, sains sukan dan sebagainya," katanya.

Mengambil contoh UiTM FC, Stuart menjelaskan apa yang dilakukan pasukan itu ketika ini memberi gambaran yang terbaik terhadap apa yang boleh dicapai sesebuah pasukan sekiranya mereka bijak menggunakan sumber yang ada sekalipun tidak memiliki dana yang besar.

"Kita tengok UiTM FC yang menggunakan infrastruktur universiti, kepakaran sains sukan dan teknologi yang mereka ada. Saya rasa setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan sendiri.

"Pasukan seperti UiTM FC menggunakan kekuatan mereka untuk merealisasikan perbezaan atas padang walaupun ada kekurangan daripada segi bajet dan kemampuan lain.

"Selepas ini dengan penswastaan pasukan, mereka boleh bekerjasama dengan lebih banyak pihak contohnya dengan universiti tempatan untuk jangka masa panjang seperti yang dilakukan Liverpool yang bekerjasama dengan Universiti John Moores," katanya.

Sabah raih tiga mata berharga

 

Kuala Lumpur: Sabah memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila melakar kejutan dengan menewaskan Melaka 3-2 di Stadium Likas, hari ini.

Keputusan itu pasti melegakan Sabah yang berjaya keluar daripada zon penyingkiran meskipun masih lagi belum selamat daripada prospek penyingkiran.

Bagi Melaka, kekalahan itu menyaksikan anak buah Zainal Abidin Hassan menghuni tangga ketujuh Liga Super dengan 11 mata.

Melaka bagaimanapun di depan pada minit ke-15 menerusi gol jaringan Uche Agba.

Namun kedudukan itu hanya bertahan sembilan minit selepas Dennis Buschening menyamakan kedudukan untuk Sabah apabila meledak gol penyamaan minit ke-24 sebelum Sony Norde kembali meletakkan Melaka di depan di penghujung babak pertama.

Sabah bangkit pada separuh masa kedua apabila memperoleh dua gol menerusi Buschening minit ke-64 disusuli sepakan penalti Rodoljub Paunovic minit ke-72.